Friday 20 January 2012

Khalid tidak percayakan PAS ketuai portfolio agama Selangor?

 PELANTIKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai EXCO tetapi bukan bagi portfolio yang dikosongkan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu, dilihat memberi tamparan hebat kepada PAS.

Malah, keputusan meletakkan portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam dalam bidang kuasa Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim seolah-olah menunjukkan beliau tidak mempercayai wakil rakyat PAS mengetuai portfolio berkenaan.

Rombakan kecil EXCO membabitkan portfolio yang pernah disandang Dr Hasan turut mengundang perasaan tidak puas hati di kalangan beberapa pihak yang tegas memartabatkan agama Islam di negeri ini. Ia menampakkan seolah-olah PAS ketandusan tokoh berwibawa untuk menyandang portfolio itu atau mungkin Abdul Khalid mempunyai kepentingan politik.

Justeru, tidak hairanlah jika Timbalan Pengerusi Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (GPSS), Dr Ibrahim Ghaffar, secara lantang mempersoalkan kewibawaan Abdul Khalid mengemudi portfolio agama Islam.

Beliau meragui kewibawaan Abdul Khalid kerana sebelum ini terbukti beliau tidak pernah memihak kepada kepentingan agama Islam, terutama isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya, pada 3 Ogos tahun lalu.

“Sukar untuk saya percaya Abdul Khalid boleh melaksanakan tugas portfolio agama Islam dengan jujur, ikhlas, tegas dan tidak memihak kepada kepentingan politik. Ia kelihatan seperti mempersendakan tokoh PAS sendiri,” katanya.
Seorang lagi pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan keputusan memisahkan hal ehwal Islam dan adat-adat Melayu tidak bijak kerana kedua-dua aspek itu amat berkait rapat.

Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin, berkata tindakan itu juga dianggap sebagai Menteri Besar yang ‘gila kuasa’ kerana sudah banyak portfolio dipegangnya ketika ini.

“Apabila portfolio Hal Ehwal Islam dipegang Menteri Besar yang tidak mempunyai latar belakang agama Islam, pentadbiran JAIS dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan menjadi lebih kelam kabut dan tidak terurus.

“Ini kerana Abdul Khalid akan mengambil tindakan ikut suka seperti tindakannya memohon maaf kepada pengurusan DUMC selepas insiden pemeriksaan oleh JAIS. Saya tidak terperanjat jika selepas ini, Abdul Khalid mengarahkan JAIS tidak membuat pemeriksaan terhadap kelab malam, kedai kuda dan hotel bajet,” katanya.

Selain itu, ada yang berpendapat walaupun Abdul Khalid tidak mempercayai EXCO daripada pemimpin PAS untuk menjaga portfolio hal ehwal Islam, beliau boleh menyerahkan portfolio itu kepada EXCO Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempunyai latar belakang agama Islam, seperti Dr Yaakob Sapari.

Justeru, pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor, khususnya bagi menangani pelbagai isu hal ehwal Islam akan menjadi perhatian ramai, selain sentiasa diteropong sama ada Abdul Khalid mampu menjaga kepentingan Islam seperti sebelum ini.-18/1/2012 -Berita Harian

No comments:

Post a Comment