Saturday 21 January 2012

Kehilangan Portfolio Agama Di Selangor, Satu Lagi Episod Malang Buat Pas



Bekas Mufti Wilayah Persekutuan Prof Madya Datuk Dr Yusof Hussin berkata sewajarnya portfolio itu tidak beralih arah kepada mana-mana pihak lain sungguhpun berlaku perlantikan Exco baru menggantikan Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat daripada Pas baru-baru ini.

Menurut beliau bukanlah menjadi satu kesalahan portfolio agama dipegang oleh mana-mana individu tetapi dalam isu berkenaan ianya menimbulkan keraguan kepada umum status Pas yang sebelum ini mencanang sebagai parti memperjuangkan Islam.

“Bukan salah Tan Sri Khalid pegang portfolio agama kerana sesiapa pun boleh pegang tetapi menimbulkan sedikit persoalan kerana bukankah Pas yang bernaung di dalam pakatan pembangkang mewar-warkan diri mereka adalah parti Islam.

“Sepatutnya portfolio itu kekal kepada Exco baru yang dilantik itu kerana ianya adalah datang daripada parti Pas. Saya cukup simpati dengan apa yang menimpa Pas di Selangor kali ini seolah-olah mereka tidak diiktiraf selayaknya oleh rakan sendiri, “  katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perubahan portfolio kerajaan Selangor apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi, 47, yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hanya diberikan portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

Melalui satu rombakan kecil pentadbiran negeri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil alih dua portfolio penting iaitu Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini dipegang oleh Hasan.  Kedua-dua portfolio itu diketuai sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dr Yusof seterusnya menegaskan Pas tidak akan dapat lari daripada kenyataan umum bahawa parti mereka seolah-olah melukut di tepi gantang.

Ini kerana katanya orang ramai akan melihat Pas benar-benar seperti telahan umum yang selama ini mengkritik parti berkenaan yang mungkin sering dibuli oleh rakan mereka sendiri.

“Perkembangan terbaru itu membayangkan kepada kita bahawa Pas rela dipijak oleh rakan mereka sendiri yang sepatutnya perkara itu tidak berlaku,“ katanya.

No comments:

Post a Comment