Monday 16 January 2012

‘Bersihkan Malaysia’… Pembangkang Layak Diiktiraf “Juara Slogan”

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Pakatan pembangkang terbukti boleh diiktiraf sebagai parti juara slogan lantaran kecenderungan mereka yang sentiasa berubah-ubah dan mewujudkan macam-macam slogan dalam masa yang singkat mengikut situasi semasa, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Idris Haron.

Terbaru pakatan pembangkang telah berikrar untuk ‘Bersihkan Malaysia’ melalui konvensyen mereka di Stadium Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Alor Setar, Sabtu lalu.
“Apakah kebersihan yang mereka maksudkan? Dalam hal ini seakan ada satu pergerakan yang seolah-olah memperbodohkan atau memandang rendah terhadap apa yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) semenjak kita mengecap kemerdekaan hinggalah ke hari ini.”

Katanya, sebelum ini telah pelbagai slogan dikeluarkan oleh pakatan pembangkang termasuklah ‘Bebas Anwar 901’ sedangkan ketika itu mahkamah belum pun membuat apa-apa keputusan berkaitan penghakiman kes terbabit.

“Apa dah jadi pada slogan itu sekarang sedangkan Anwar telah dilepas dan dibebaskan walhal slogan tersebut wujud sebelum Anwar dikenakan tahanan lagi.

“Mereka (pembangkang) minta bersihkan Malaysia tapi persoalannya selama pembangkang berkerajaan di Kelantan iaitu selama 22 tahun adakah negeri tersebut bersih sedangkan dalam peta Malaysia hari ini negeri tersebut telah tertulis sebagai negeri yang paling tinggi maksiatnya, tahap pendidikan paling rendah, negeri termiskin dan entah apa lagi?”

Tegasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, kerajaan Pas di Kelantan telah mencemarkan nama Islam termasuklah kesuciannya.

“Hari ini Pas sendiri telah melalui malapetaka yang amat besar apabila mereka bertindak memecat Hassan Ali yang mempertahankan kesucian Islam dan kemudiannya slogan parti tersebut ditukar kepada negara berkebajikan sedangkan BN telah lama melaksanakannya.”

Ujarnya, jangan gadai masa hadapan bangsa dengan parti yang tak ada masa hadapan sebagaimana pakatan pembangkang, cakap penuh dengan omong kosong hanya kerana gilakan pangkat dan kedudukan, apatah lagi apabila tunduk dan sanggup ikut telunjuk Yahudi dan Amerika.

“Kalau nak lihat mayat Melayu dan Islam dikencingkan tentera asing di negara sendiri maka berilah pakatan pembangkang PKR, Pas dan Dap memimpin negara ini,” tegasnya lagi.
Tambahnya, kewibawaan dan integriti BN telah terbukti kerana sehingga ke hari ini tidak seinci tanah pun askar asing boleh masuk.

“Ini berbeza dengan pembangkang yang belum pun berkerajaan askar asing sudah mula minta ruang udara dan tapak sebagai pengkalan mereka.”

No comments:

Post a Comment