Hasan Ali
PETALING JAYA - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, beliau akan mendedahkan ketua dan pengikut 'parasit' yang wujud dalam parti Islam itu dalam satu siri jelajah ke seluruh negeri, yang akan diadakan dalam waktu terdekat.

"Siapa ketua dan pengikut parasit itu, saya tidak akan sebut hari ini, tetapi saya akan nyatakan dalam satu siri ceramah jelajah ke seluruh negeri yang akan diumumkan dalam masa terdekat," kata beliau menjawab Pesuruhjaya negeri itu, Dr Abd Rani Osman yang semalam mencabar agar beliau mendedahkan senarai nama sekumpulan parasit yang didakwa wujud dalam Pas.

Selain itu, Hasan turut menegaskan, kumpulan parasit yang menggunakan strategi licik ini juga telah masuk ke dalam Pas dan menjadi salah satu punca beliau dipecat awal minggu lalu.

"Saya yakin dan juga telah berunding dari luar dengan mereka yang ada di dalam (parti) untuk memastikan agar parasit ini akan dilepaskan dari Pas.

"Saya akan lakukan dengan penuh kebijaksanaan dan intelektual untuk bersama menggerakkan Pas agar parti itu berada seperti zaman (Allahyarham) bekas Presiden Datuk Fadzil Mohd Noor," kata Hasan pada sidang media di kediamannya hari ini.

Dalam laporan Sinar Harian hari ini, Dr Rani meminta pendedahan senarai nama dikemukakan agar boleh membantu Pas untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Kalau dia ada bukti mengatakan dalam Pas ini ada parasit, maka perkara itu perlu didedahkan kerana dalam Islam sendiri setiap tuduhan itu perlu ada buktinya.

“Kita pun nak tahu juga siapa parasit yang ada dalam Pas ini supaya kita sendiri boleh mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu berkata, parasit yang wujud dalam Pas itu juga terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang mempunyai matlamat dan visi mereka tersendiri.

Jelasnya, sebahagian daripada mereka telah bergerak cergas ketika masih belajar di luar negara dan kini menyusup masuk ke dalam Pas.

"Mereka kini telah memegang jawatan-jawatan penting dalam Pas dan memang mereka meminta jawatan strategik ini dalam parti," katanya.

Sementara itu, Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia turut menegaskan bahawa pemecatannya dibuat bukan atas dasar kesilapannya yang telah diharmonikan dan dianggap selesai sebelum ini tetapi, katanya, beliau dipecat kerana menegur komponen parti yang ada di dalan Pakatan Rakyat, iaitu PKR.

Beliau turut melahirkan rasa hairan bagaimana Pas selaku parti yang memperjuangkan Islam boleh mengikut telunjuk parti itu.

Kata Hasan, "adakah Pas telah hilang jati dirinya?"

"Dalam apa juga keadaan sekalipun, saya akan berjuang sama ada di dalam atau di luar Pas. Saya hidup kerana Islam dan saya redha mati kerana Islam," tegasnya.